Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis

Apakah Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis?
Mesin ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menghasilkan imej-imej struktur dalaman tubuh manusia. Imbasan ultrabunyi abdomen dan pelvis dilakukan untuk melihat organ-organ dalaman seperti hati, limpa, pundi hempedu, pankreas, buah pinggang, pundi kencing, uterus dan ovari bagi wanita dan prostat bagi lelaki.


Subjek sedang menjalani imbasan ultrabunyi abdomen

Adakah Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis selamat?
Ya. Ia tidak invasif, iaitu tiada jarum atau suntikan, selalunya tidak sakit dan tidak menggunakan
sinar-x.

Kenapakah saya memerlukan Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis?
Pemeriksaan ini akan menolong mengesan banyak penyakit seperti batu dalam pundi hempedu atau buah pinggang, ketumbuhan dan penyakit organ dalaman yang lain.

Siapakah yang patut menjalani Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis?
Sesiapa sahaja yang ingin memastikan organ abdomen dan pelvis mereka adalah normal.

Bagaimanakah Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis dijalankan?
Anda akan dibawa ke bilik ultrabunyi yang lampunya dimalapkan. Anda perlu baring di atas katil ultrabunyi dan mendedahkan abdomen anda. Gel jernih akan disapu pada abdomen anda. Satu transduser yang disambungkan kepada mesin pengimbas diletakkan di atas abdomen anda dan digerakkan di keliling abdomen untuk melihat organ. Transduser menghantar gelombang bunyi ke dalam badan anda.

Gelombang bunyi itu melantun ke arah organ seperti gema. Gema ini dihantar kepada mesin yang merakamkan keputusan pada filem dan komputer. Anda tidak akan mendengar atau merasai gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Mungkin ada sedikit rasa tidak selesa semasa pakar radiologi menggerakkan transduser di atas abdomen anda. Anda akan diminta untuk tidak bergerak seboleh mungkin dan menahan nafas semasa imej sedang dirakamkan

Bagaimanakah saya boleh menyediakan diri untuk menjalani Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis?
Anda mesti berpuasa selama enam jam sebelum imbasan. Anda perlu menyimpan pundi kecing yang penuh untuk prosedur ultrabunyi pelvis.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk Imbasan Ultrabunyi Abdomen dan Pelvis?
Ia mengambil masa lebih kurang 15-30 minit bergantung kepada imbasan.

Apakah yang terjadi selepas imbasan?
Tiada sebarang protokol khusus yang perlu diikuti selepas imbasan. Anda boleh meneruskan rutin dan diet normal anda.

Adakah kemungkinan terjadi komplikasi?
Untuk ultrabunyi diagnostik yang standard, tiada kesan yang membahayakan kepada manusia diketahui.

Apakah yang berlaku jika imbasan saya abnormal?
Jika imbasan anda abnormal, doktor anda mungkin memerlukan satu lagi imbasan seperti tomografi berkomputer (CT) abdomen dan pelvis untuk penilaian selanjutnya. Penyiasatan yang lain seperti biopsi mungkin diperlukan bergantung kepada setiap kes.

Apakah kekurangan Ultrabunyi Abdomen?
Gelombang ultrabunyi terpantul pada udara dan gas, oleh itu ia menghadkan penilaian perut dan usus. Gas usus juga boleh menghalang penggambaran struktur yang lebih dalam seperti pankreas dan aorta. Kadangkala, ketumbuhan yang kecil tidak disedari.

 

Catatan: Ini hanyalah maklumat am. Hubungi doktor jika anda memerlukan sebarang nasihat perubatan atau sekiranya keputusan perubatan perlu dibuat.