Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid

Apakah Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid?
Mesin ultrabunyi menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menghasilkan imej struktur dalaman tubuh manusia. Ultrabunyi Doppler menggunakan prinsip fizik untuk memberitahu arah aliran darah dalam organ yang diimbas. Dalam satu imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid, pembuluh darah leher yang membekalkan darah ke otak diperiksa untuk menentukan keadaan, kehadiran halangan dan arah aliran.

Sejauh manakah Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid selamat?
Tiada sinar-x digunakan.

Mengapakah saya patut menjalani Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid?
Ia merupakan sebahagian daripada penilaian untuk risiko strok. Jika pemeriksaan ultrabunyi karotid menunjukkan penyempitan arteri karotid, langkah-langkah boleh diambil untuk mengembalikan aliran bebas darah ke otak. Hasilnya, gejala strok boleh dielak.

Siapakah yang patut menjalani Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid?
Sesiapa sahaja yang menghadapi risiko strok dengan gejala yang mungkin berpunca daripada penyempitan karotid, atau didapati menghidapi ¡®carotid bruit¡¯.
Individu asimptomatik dengan faktor risiko yang berikut:
1. Diabetes mellitus (kencing manis)
2. Tahap kolesterol tinggi
3. Hipertensi (tekanan darah tinggi)
4. Sejarah keluarga mendapat strok atau berpenyakit jantung

Bagaimanakah saya harus menyediakan diri untuk Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid?
Tiada penyediaan khusus yang diperlukan untuk imbasan. Anda perlu menanggalkan barang kemas atau aksesori pada leher anda.

Bagaimanakah Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid dijalankan?
Anda akan dibawa ke bilik ultrabunyi yang diterangi lampu malap. Anda mesti berbaring terlentang di atas katil dan gel jernih akan disapu pada leher. Kedua-dua sisi leher akan diperiksa mengikut giliran. Transduser yang dihubungkan ke mesin pengimbas diletakkan pada leher dan digerakkan untuk mengikuti pembuluh darah yang merentasi sepanjang leher anda unuk mendapatkan arteri dari perspektif yang berlainan. Transduser menghantar gelombang bunyi ke dalam badan anda. Gelombang bunyi melantun dari pembuluh seperti gema.¡¯Gema¡¯ itu dihantar ke satu mesin dan merakamkan keputusan ujian di atas filem dan komputer. Anda tidak akan mendengar atau merasai gelombang bunyi berfrekuensi tinggi. Anda akan diminta mendiamkan diri sebaik yang anda boleh.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid?
Ia mengambil masa 30-40 minit bergantung kepada kerumitan imbasan.

Apakah yang terjadi selepas Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid?
Tiada apa yang dijangkakan terjadi selepas imbasan.

Adakah kemungkinan terdapat apa-apa komplikasi?
Tiada komplikasi atau kesan sampingan yang diketahui.

Apakah maknanya jika Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid saya abnormal?
Jika ultrabunyi karotid menunjukkan penyempitan satu atau kedua-dua arteri karotid, doktor anda akan mengesyorkan ubat, angiografi tidak invasif atau pembedahan untuk mengembalikan aliran darah normal ke otak. Dengan melakukan langkah ini, anda boleh mencegah terjadinya strok.

Apakah yang dimaksudkan dengan Imbasan Ultrabunyi Doppler Karotid normal?
Ia bermakna pembuluh darah yang membekalkan darah ke otak yang divisualkan pada leher tidak dihalang atau menyempit. Risiko anda mendapat strok berikutan bekalan darah tidak cukup ke otak daripada pembuluh darah yang sempit dan berpenyakit adalah rendah.

 

Catatan: Ini hanyalah maklumat am. Hubungi doktor jika anda memerlukan sebarang nasihat perubatan atau sekiranya keputusan perubatan perlu dibuat.