Sejauh manakah selamatnya sinar-x dada?
Jumlah radiasi yang diberikan pada prosedur ini adalah sangat rendah. Ia adalah hampir sama dengan jumlah yang anda dapati daripada radiasi persekitaran selama seminggu.
Mengapakah saya harus menjalani sinar-x dada?
Ia berperanan untuk mengesan sebarang masalah yang berkaitan dengan paru-paru, jantung dan dinding dada. Batuk teruk yang berterusan, sesak nafas, sakit dada, kecederaan pada dada ataupun kehadiran darah pada kahak adalah contoh-contoh masalah yang perlu menjalani ujian sinar-x dada.
Bagaimanakah saya harus bersedia jika ingin menjalani ujian sinar-x dada?
Tiada sebarang persediaan yang perlu dibuat. Kaum wanita seharusnya memberitahu doktor ataupun radiografer sekiranya disyaki mengandung.
Bagaimanakah sinar-x dada dilakukan?
Anda dikehendaki menanggalkan semua barang kemas yang boleh mengganggu ujian sinar-x. Kebiasaannya, pandangan hadapan akan diambil. Anda dikehendaki berdiri tegak dengan dada rapat pada plat, ke dua-dua tangan diletakkan pada pinggang dan siku ditolak kehadapan. Radiografer akan meminta anda supaya tidak bergerak, tarik nafas dan tahan nafas tersebut. Untuk mendapatkan imej paru-paru yang baik, anda harus mengikuti arahan pernafasan dengan betul. Radiografer akan keluar dari bilik pemeriksaan untuk mengaktifkan peralatan radiografi, di mana ia akan menghantar dedahan sinar-x dari sumber sinar-x di belakang anda ke plat perakam. Radiografer juga berkemungkinan akan menjalankan ujian sinar-x dada dari arah dan pandangan yang berlainan untuk mendapatkan imej seluruh bahagian dada.
Pakar radiologi akan menganalisa imej sinar-x dada tersebut, menulis keputusan ujian dan menghantarnya kepada doktor anda. Doktor anda akan memberitahu anda hasil ujian sinar-x dada yang telah dijalankan. Sistem Komunikasi dan Penyimpanan Imej (PACS) kami juga membolehkan pengedaran maklumat keputusan pemeriksaan dan imej digital melalui internet. |