Sejauh mana Ujian Fungsi Paru-paru selamat?
Ujian fungsi paru-paru mudah, selamat dan tidak menyakitkan. Tiada risiko atau komplikasi jangka pendek atau jangka panjang.
Mengapakahkah saya patut menjalani Ujian Fungsi Paru-Paru?
Ujian fungsi paru-paru membolehkan pengesanan awal dua jenis utama penyakit paru-paru iaitu penyakit paru-paru obstruktif dan penyakit paru-paru restriktif. Dalam kes penyakit paru-paru obstruktif, ruang udara menjadi sempit dan ini boleh berlaku pada pesakit asma dan perokok. Dalam kes penyakit paru-paru restriktif, tisu paru-paru yang berfungsi berkurangan. Pengesanan awal membolehkan langkah-langkah (menukar gaya hidup atau ubat) diambil dalam mencegah atau melambatkan kemerosotan akibat penyakit paru-paru.
Siapakah yang patut menjalani Ujian Fungsi Paru-Paru?
Sesiapa yang mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit paru-paru seperti pesakit asma dan perokok (kedua-dua perokok aktif dan pasif) dan terutama mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit paru-paru.
Bagaimanakah saya harus menyiapkan diri untuk menjalani Ujian Fungsi Paru-Paru?
Anda sepatutnya tidak makan hidangan yang berat sebelum ujian dan sepatutnya tidak merokok atau bersenam berlebihan 4-6 jam sebelum mengambil ujian. Jika anda mempunyai gigi palsu, anda patut membawanya bersama dan memakainya semasa ujian.
Bagaimanakah Ujian Fungsi Paru-Paru dijalankan?
Anda akan diminta memakai klip hidung semasa ujian untuk memastikan tiada angin keluar atau masuk ke dalam lubang hidung. Kemudian anda akan diminta menarik dan menghembus nafas seperti biasa. Ujian bermula bila anda meniup dengan pantas dan dalam ke dalam pemipit yang dilekatkan pada alat perakam (spirometer). Spirometer dengan sensor berkomputer itu akan mengukur kadar aliran udara dan melaporkan keputusannya dalam satu graf. Graf ini akan menunjukkan pergerakan angin yang masuk dan keluar dari paru-paru anda.
Anda mungkin akan diminta menyedut sejenis semburan yang mengandungi ubat sebelum ujian diulangi. Ini adalah untuk menilai sama ada saluran pernafasan anda akan memberi respon kepada ubat jika ujian awal menunjukkan ada bukti halangan pada saluran pernafasan.
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menjalani Ujian Fungsi Paru-Paru?
Ujian ini selalunya mengambil masa selama 5 hingga 10 minit.
Setakat manakah ujian ini boleh dipercayai?
Ketepatan ujian ini bergantung kepada kebolehan anda untuk mematuhi semua arahan. Anda diminta untuk bernafas dengan pantas dan dalam semasa ujian fungsi paru-paru untuk mencapai keputusan yang terbaik. Keputusan akan menjadi tidak tepat jika seseorang itu tidak mengikut arahan atau tidak bersungguh-sungguh semasa ujian.
Perempuan yang mengandung, perut yang penuh dan abdomen yang kembung akan mengganggu keputusan ujian manakala ketidakmampuan untuk bernafas secara biasa kerana berada dalam kesakitan, memakai baju ketat dan sebagainya boleh membawa kepada keputusan yang tidak betul. Ubat-ubat tertentu termasuk sedatif juga boleh mengganggu fungsi paru-paru anda dan semua ini perlu dielakkan sebelum ujian. |