Apakah pengimbasan berkomputer (CT) kolonografi?
Pengimbasan berkomputer (CT) kolonografi adalah ujian yang menggunakan sinar-x untuk menghasilkan imej struktur dalaman usus besar. Pakar radiologi akan membuat keputusan terhadap imej-imej tersebut.
Adakah pengimbasan berkomputer (CT) kolonografi selamat?
Ya. Kolonagrafi CT adalah kaedah invasif yang sangat minima. Berbanding dengan kaedah kolonoskopi konvensional, ia mempunyai risiko perforasi yang sangat rendah (1 dalam 1500). Ia juga tidak memerlukan ubat pelali.
Mengapakah saya harus menjalani ujian ini?
Di Malaysia, kanser kolorektal merupakan kanser ketiga tertinggi dengan insiden 27 kes per 100, 000 orang (data dari Pendaftar Kanser Kebangsaan Negara Malaysia 2003). CTC merupakan kaedah terbaru untuk mengesan polip dan kanser kolorektal. Tambahan pula, kebanyakan pesakit menyatakan bahawa teknik kolonografi CT adalah lebih selesa berbanding dengan kaedah Barium Enema atau kolonoskopi konvensional.
Siapakah yang harus menjalani ujian kolonografi CT?
Ia disyorkan jika anda:
1. berusia 50 tahun dan ke atas
2. mempunyai sejarah menghidap polip pada usus
3. mempunyai sejarah keluarga yang menghidap polip pada usus
4. telah gagal melakukan ujian kolonoskopi
5. mempunyai perubahan dalam aktiviti usus, anemia, pendarahan pada rektum
Bagaimanakah kolonografi CT dijalankan?
Anda akan diberi baju khas dan menukarnya di bilik persalinan. Anda diminta untuk menanggalkan semua barang kemas dan seterusnya dihantar ke bilik CT.
Suntikan intravena akan diberikan untuk mengurangkan pergerakan usus. Tiub kecil dimasukkan ke rektum anda. Seterusnya, udara dipam melalui dubur untuk mengembangkan usus. Anda akan diimbas dengan dua posisi iaitu menelentang (supine) dan meniarap (prone). Anda juga akan diberitahu mengenai arahan pernafasan yang harus diikuti dan imbasan akan bermula. Anda akan merasai katil bergerak memasuki gantri (gegelung berbentuk donut pada pengimbas CT) ketika imbasan dijalankan.
Apakah persediaan yang harus saya buat jika ingin menjalani ujian kolonografi CT?
Anda akan menjalani diet rendah serat sehari sebelum ujian dijalankan. Anda juga akan diberi sedikit ubat julap untuk membersihkan usus anda dari najis. Anda dikehendaki berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam sebelum imbasan dijalankan. Jika anda adalah wanita, anda harus memastikan yang anda tidak hamil untuk menghalang sebarang radisi pada kandungan anda. Sila beritahu pakar perubatan jika anda menghidapi glaukoma, penyumbatan pada pundi kencing serta aritmia (degupan jantung yang tidak stabil) sebelum pengimbasan dijalankan.
Berapa lamakah jangkamasa kolonografi CT dilakukan?
Mesin CT melakukan pengimbasan dari kepala sehingga kaki dalam masa kurang dari 10 saat. Walaubagaimanapun, jumlah masa yang diperlukan untuk membuat persiapan dan memposisikan pesakit di bilik CT adalah lebih kurang 30-40 minit.
Apakah yang berlaku setelah ujian kolografi CT tamat?
Perut anda akan rasa kembung dalam sehari dua. Anda juga akan berasa tidak selesa akibat pengambilan ubat julap yang menyebabkan usus anda kosong dan pergerakannya yang kurang normal.
Adakah kesan sampingan berlaku?
Daripada mangsa yang masih hidup akibat pengeboman bom atom, risiko kanser terhadap radiasi dapat diketahui walaupun ianya adalah rendah. Sehingga kini, tiada bukti yang menyatakan imbasan diagnostik seperti kolonografi CT menyebabkan kanser. Terdapat teori yang menyatakan risiko kecederaan pada usus akibat dikembangkan dengan udara. Suntikan intravena untuk mengurangkan pergerakan usus mungkin menyebabkan glaukoma, sukar membuang air kecil dan aritmia jantung pada sesetengah individu.
Apakah maksudnya jika imbasan saya positif atau hampir tepat?
Jika imbasan anda adalah positif atau hampir tepat, anda mungkin menghidap ketumbuhan. Anda berkemungkinan perlu melakukan kolonoskopi untuk biopsi ataupun pembuangan polip untuk menentukan sifat-sifat sebenar ketumbuhan tersebut.
Jika keputusan pengimbasan adalah negatif, adakah ia bermakna saya bebas dari penyakit kanser kolon?
Ya. Walaubagaimanapun, secara teknikalnya kanser yang sangat kecil mungkin tidak dapat dikesan. Walaupun dengan menggunakan kolonoskopi konvensional, tiada jaminan untuk mengesan semua ketumbuhan. Antara 10-20% polip dan 5% kanser kolon tidak dapat dikesan dengan menggunakan kolonoskopi konvensional. |