Apakah CT Angiografi Koronari?
CT Angiografi adalah prosedur pesakit luar yang selamat. Ia menggunakan sinar-x dan kontras intravena yang direka khas untuk melakukan pemeriksaan anatomi lengkap pada salur darah di seluruh tubuh. Ia selalunya dilakukan untuk melihat arteri (salur darah) pada kepala, leher, dada, abdomen dan kaki. CT angiografi koronari bermaksud prosedur pengimbasan yang dilakukan untuk mendiagnos arteri pada jantung, terutamanya pada pesakit jantung iskemik seperti serangan jantung.
Setakat manakah imbasan CT angiografi koronari ini selamat?
Terdapat isu radiasi dalam kaedah ini. Dos efektif adalah hampir sama dengan dos yang digunakan pada kaedah angiografi koronari konvensional (kaedah yang invasif dan menggunakan kateter) iaitu 5-8 mSv. Penggunaan kontras berkemungkinan akan memberikan risiko reaksi alahan pada sesetengah individu. Oleh itu, tidak semua individu boleh melakukan ujian ini. Sila berbincang dengan pakar perubatan anda untuk indikasi yang lebih jelas dan analisis diantara risiko serta kebaikan yang boleh didapati jika pengimbasan dilakukan.
Siapakah yang patut melakukan pengimbasan CT angiografi koronari?
Pengimbasan CT angiografi koronari akan disyorkan oleh pakar perubatan anda sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit koronari arteri (salur darah pada jantung) yang signifikan (jelas). Tanda-tanda tersebut boleh diketahui melalui ujian saringan jantung seperti ujian stres ECG atau pengimbasan nuklear jantung yang abnormal. Ujian ini juga dilakukan untuk pemeriksaan susulan selepas pesakit menjalani prosedur angioplasti koronari, sten serta selepas pembedahan graf bypass arteri koronari.
Bagaimanakah CT angiografi koronari dilakukan?
Ia dilakukan dengan kaedah intravena. Anda akan diminta untuk berbaring di atas meja mesin pengimbas CT. Arahan pernafasan akan diberikan. Kebiasaannya, keseluruhan imej jantung dapat dilihat dalam masa 5 kali degupan jantung. Bahan kontras juga akan diberikan dan kadangkala ubat juga akan diberi untuk memperlahankan kadar degupan jantung.
Radiografer serta pakar perubatan kami akan memproses dan memberi keputusan mengenai ujian yang telah dijalankan. Keputusan ujian tersebut akan dibincangkan bersama anda.
Bagaimanakah saya harus menyiapkan diri untuk ujian CT angiografi koronari?
Anda dikehendaki untuk berpuasa 4 jam sebelum ujian dilakukan. Sila elakkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi atau teh pada hari pemeriksaan
Berapa lamakah ujian pengimbasan CT angiografi koronari dijalankan?
Walaupun pengimbasan jantung sebenar memakan masa hanya 5-8 saat, prosedur pengimbasan keseluruhan memakan masa selama 15-20 minit, bermula daripada persiapan dilakukan sehingga ujian tamat. Anda boleh terus pulang dan boleh meneruskan aktiviti harian anda setelah ujian selesai dijalankan.
Apakah kebaikan CT angiografi koronari?
Pengimbas 64-baris pengesan merupakan pengimbas CT berbilang pengesan yang paling canggih pada masa kini. Dengan menggunakan putaran gantry (gegelung) yang berkelajuan tinggi dan liputan pengesan isipadu yang besar, kami boleh memberikan imej cabang arteri koronari yang sangat jelas. Ini adalah teknologi baru yang sangat mengagumkan.
Kajian baru yang dijalankan dan dibentangkan pada Mac 2005 di mesyuarat tahunan Kolej Kardiologi Amerika, membandingkan kapasiti di antara pengimbas 64-baris pengesan CT jantung dengan angiografi koronari (invasif) untuk mengesan stenosis (pengurangan diameter lumen lebih daripada 50 peratus) pada arteri koronari. Seramai 30 orang pesakit yang menghidapi angina (sakit dada) yang stabil atau sindrom koronari akut dipilih sebagai kajian. Individu yang tidak dapat menahan nafas lebih daripada 15 saat tidak dimasukkan di dalam kajian. Pengimbasan jantung disusuli dengan suntikan intravena bahan kontras dan dianalisis oleh dua orang pemerhati yang tidak mempunyai pengetahuan terhadap keputusan yang didapati daripada angiografi invasif.
Kebanyakan pesakit menerima beta bloker (bahan yang digunakan untuk memperlahankan kadar degupan jantung) sebelum ujian dilakukan, dan semua koronari arteri yang diimbas dengan menggunakan CT dan angiografi terpilih dibandingkan. Berbanding angiografi terpilih, pengimbas 64-baris pengesan CT jantung menunjukkan sensitiviti setinggi 96 peratus dan spesifisiti 89 peratus dalam mengesan stenosis (penyempitan salur darah). Penulis membuat kesimpulan bahawa pengimbas 64-baris pengesan CT jantung dapat mengesan stenosis pada arteri koronari pada pesakit yang menghidapi angina (sakit dada) yang stabil serta sindrom koronari akut yang lain. (Sumber: Mollet, et. Al., kajian # 1054-83, ACC бо05).
Analisis paling terkini (Hoffman et al., JAMA 2005; 293:2471-2478) menunjukkan sensitiviti MDCT adalah 95% manakala spesifisitinya adalah 98%.
Adakah angiografi CT koronari adalah prosedur alternatif untuk angiografi kateter (angiografi konvensional)?
Angiografi kateter (angiografi konvensional) masih merupakan kaedah utama untuk mendiagnos penyakit koronari arteri. Walaubagaimanapun, ia melibatkan kaedah yang invasif serta memerlukan pesakit tinggal di hospital dengan lebih lama. Ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pendarahan, rasa sakit dan kos yang lebih tinggi.
Berbanding angiografi kateter, angiografi CT adalah kurang invasif dan ia juga satu kaedah yang mesra-pesakit. Pada angiografi kateter, bahan kontras yang dimasukkan adalah melalui arteri. Tetapi bagi angiografi CT pula ia dimasukkan melalui vena. Secara teknikal ia adalah lebih mudah dan mempunyai kesan sampingan yang sangat rendah. Setelah prosedur tamat, pesakit boleh terus pulang ke rumah dan meneruskan aktiviti harian mereka.
Imbasan CT jantung juga menawarkan pelbagai manfaat seperti melihat pemendapan plak aterosklerotik. Angiografi kateter jantung pula hanya menunjukkan lumen (ruang dalam) arteri.
Apakah maksudnya jika pengimbasan saya adalah positif atau hampir tepat?
Pengimbasan dapat memberikan keputusan sama ada arteri koronari anda mengalami penyempitan aterosklerotik. Ia juga boleh menganggarkan peratusan penyumbatan arteri tersebut. Berpandukan kepadanya, pakar jantung akan mengesyorkan penjagaan yang sepatutnya. Kadangkala, kehadiran kalsium ataupun sten (alat yang digunakan untuk membesarkan kembali arteri koronari) pada arteri akan mengganggu keputusan dan seterusnya merendahkan ketepatan pengimbasan.
Jika keputusan pengimbasan adalah negatif, adakah ia bermakna saya bebas dari penyakit arteri koronari?
Adalah sangat baik jika pengimbasan adalah normal (negatif). Nilai jangkaan negatif untuk angiografi koronari 64-hirisan adalah 99-100%. Ini bermakna jika keputusan pengimbasan adalah normal, ia menunjukkan hampir 100% keputusan tersebut adalah tepat.
|