Mamografi

Apakah Mamografi?
Mamografi ialah pemeriksaan x-ray payu dara yang digunakan untuk mengesan dan mendiagnos penyakit payu dara. Filem x-ray ini dipanggil mamogram. Pemeriksaan mamogram digunakan sebagai langkah pencegahan untuk wanita yang tidak mempunyai gejala penyakit payu dara.

Adakah Mamografi selamat?
Mamografi ialah ujian sinar-x berdos rendah yang selamat untuk payu dara.

Mengapakah saya patut mendapatkan Mamografi?
Wanita-wanita di Malaysia mempunyai nisbah 1 dalam 19 peluang untuk menghidap kanser payu dara dalam seumur hidup. Mamografi digunakan untuk mengesan kanser payu dara pada peringkat awal sebelum ia dirasai, dan mereka yang menjalaninya mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus hidup. Bersama-sama dengan mamogram, ketumbuhan payu dara yang sebenar mesti diperiksa oleh seorang doktor. (Sumber: Pusat Sumber Kanser Payu Dara, www.radiologymalaysia.org)

Siapakah yang patut menjalani mamografi?
Persatuan Kanser Amerika mengesyorkan semua wanita berumur 40 tahun ke atas membuat pemeriksaan mamografi setiap tahun sebagai sebahagian program kesihatan payudara. Ini juga termasuk pemeriksaan sendiri bulanan payudara dan pemeriksaan tahunan payudara oleh ahli profesional kesihatan.

Wanita yang pernah menghidap kanser payudara atau menghadapi masalah payudara atau mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser payudara mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kanser payudara. Mereka mungkin memerlukan pemeriksaan pada usia yang lebih muda atau lebih kerap seperti yang dinasihatkan oleh doktor mereka.

Bagaimanakah mamografi dijalankan?
Pakar radiografi wanita akan meletakkan setiap payu dara mengikut giliran di atas unit mamografi dan menggunakan peralatan mamogafi untuk memampatkan payu dara. Payu dara dimampatkan untuk menyebarkan tisu-tisu supaya terasing. Ini membolehkan jumlah tisu maksimum diimejkan dan mengurangkan dos radiasi. Lebih leper payu dara, lebih baik imejnya. Mampatan ini hanya untuk beberapa saat. Ia memang tidak selesa tetapi kurang menyakitkan. Pakar radiografi akan melangkah ke belakang skrin dan mengambil imej x-ray. Sebagai peraturan, dua sudut pandangan dalam dua posisi yang berlainan untuk setiap payu dara diambil imejnya.

Bagaimanakah saya patut menyediakan diri untuk mamografi?
Elakkan dari mengatur temujanji mamografi anda pada minggu sebelum datang haid jika payudara anda selalunya sakit pada waktu itu. Waktu yang terbaik ialah seminggu selepas haid. Jangan menyapu deodoran, losyen dan bedak talkum di bawah ketiak atau di atas payudara pada hari pemeriksaan. Ia mungkin muncul di atas filem sebagai titik-titik kalsium.

Selalu memaklumkan kepada doktor atau pakar radiografi anda jika ada apa-apa kemungkinan yang anda mengandung. Terangkan kepadanya gejala atau masalah payudara anda sebelum menjalani pemeriksaan.

Dapatkan mamogram yang terdahulu dan berikan kepada doktor atau pakar radiografi pada masa pemeriksaan dijalankan.

Berapa lamakah masa mamografi dijalankan?
Mamografi hanya mengambil masa beberapa saat. Bagaimanapun, jumlah masa yang diambil untuk menyedia dan menetapkan kedudukan pesakit semasa pemeriksaan sinar-x mengambil masa 20-30 minit.

Adakah kemungkinan terdapat apa-apa komplikasi?
Unit-unit mamografi hari ini menggunakan dos rendah radiasi untuk menghasilkan mamogram yang berkualiti tinggi dan ia membuatkan prosedur ini sangat selamat.

Dos radiasi daripada mamogram lebih kurang sama dengan pendedahan radiasi latar belakang yang kita terima selama tiga bulan.

Mamogram positif palsu. 5 sehingga 10 peratus keputusan pemeriksaan mamogram adalah abnormal dan memerlukan lebih banyak ujian (lebih banyak mamogram, ultrabunyi dan biopsi) dan kebanyakan ujian susulan mengesahkan tiada terdapat kanser. Dianggarkan wanita yang berumur di antara 40 dan 49, yang menjalani mamogram tahunan, akan mempunyai lebih kurang 30 peratus kemungkinan mempunyai mamogram positif palsu pada satu-satu peringkat dalam dekad itu, dan lebih kurang 7 hingga 8 peratus kemungkinan menjalani biopsi payudara dalam tempoh 10 tahun. Anggaran untuk mamogram positif palsu ialah kira-kira 25 peratus untuk wanita dalam kumpulan umur 50 tahun ke atas.


Apakah yang berlaku jika mamogram saya adalah kabur positif?
Jika mamogram anda positif atau kabur, anda mungkin perlu mengambil gambar mamogram tambahan atau ultrabunyi payudara. Kemudiannya, susulan awal kepada mamogram dibuat dalam tempoh 6 bulan atau penyiasatan yang lain seperti biopsi mungkin diperlukan.

Apakah kekurangan mamogram?
Tidak semua kanser payudara boleh dilihat pada mamografi. Kadar negatif palsu ialah 10-15 peratus. Kerana sesetengah kanser payudara susah untuk dilihat, pakar radiologi mungkin mahu membandingkan mamogram dengan imej daripada pemeriksaan sebelumnya. Anda mesti selalu memaklumkan kepada doktor anda tentang ketumbuhan yang menimbulkan kesangsian walaupun anda baru saja menjalani mamogram.

 

Catatan: Ini hanyalah maklumat am. Hubungi doktor jika anda memerlukan sebarang nasihat perubatan atau sekiranya keputusan perubatan perlu dibuat.