| Ujian Pap Smear |
|
Ujian Pap Smear ialah kaedah yang dilakukan untuk memeriksa sel-sel yang diambil daripada serviks. Tujuan utama Ujian Pap Smear ini ialah untuk mencari perubahan sel abnormal (sel yang tidak normal) yang boleh timbul daripada kanser serviks atau sebelum ia merebak. Ujian Pap Smear dan pemeriksaan pelvik adalah bahagian yang penting dalam penjagaan kesihatan rutin wanita kerana ia boleh mengesan keabnormalan yang boleh membawa kepada kanser invasif serviks. Keabnormalan ini boleh diubati sebelum ia merebak. Lebih banyak kanser invasif serviks boleh dielak sekiranya wanita menjalani ujian Pap Smear secara tetap. Sama dengan jenis kanser lain, kanser serviks lebih berkemungkinan dirawat dengan jaya jika ia dikesan lebih awal. Golongan wanita seharusnya merujuk kepada doktor mereka tentang bila dan berapa kerap mereka harus melakukan ujian Pap Smear. Garis panduan am pada masa ini mengesyorkan golongan wanita patut mengambil ujian Pap Smear paling kurang setiap tiga tahun, bermula kira-kira tiga tahun selepas mereka mula mengadakan hubungan seks, tetapi tidak lewat daripada umur 21 tahun. Pakar-pakar mengesyorkan mereka menunggu lebih kurang tiga tahun selepas bermulanya aktiviti seks bagi mengelak rawatan berlebihan untuk perubahan biasa dan keabnormalan yang bersifat sementara. Adalah selamat untuk menunggu selama tiga tahun, kerana kanser servik merebak dengan perlahan. Kanser serviks sangat jarang berlaku di kalangan wanita yang berumur di bawah 25 tahun. Wanita yang berumur 65 hingga 70 tahun yang telah menjalani sekurang-kurangnya tiga ujian Pap Smear yang normal dan tidak pernah menjalani ujian Pap Smear abnormal dalam tempoh 10 tahun lalu boleh membuat keputusan untuk berhenti melakukan ujian Pap Smear selepas berunding dengan doktor mereka. Bagi wanita yang telah menjalani histerektomi (pembedahan untuk membuang uterus dan serviks) tidak perlu mengambil ujian Pap Smear, melainkan pembedahan dibuat sebagai rawatan untuk prakanser atau kanser. Seseorang wanita mesti mengambil ujian ini apabila tidak didatangi haid; waktu yang terbaik ialah antara 10 dan 20 hari selepas hari pertama pada akhir tempoh datang haid. Untuk lebih kurang dua hari sebelum ujian, dia sepatutnya mengelak membasuh kemaluan dengan cecair khas atau menggunakan ubat vagina atau buih, krim atau jeli pembasmi sperma (kecuali mengikut arahan doktor). Bahan-bahan tersebut mungkin menghilangkan sel-sel abnormal. Seseorang doktor dengan mudah sahaja mungkin menggambarkan keputusan ujian Pap Smear kepada pesakit sebagai abnormal. Kadangkala,sel-sel di atas permukaan serviks nampak abnormal tetapi jarang sekali berkanser. Amat penting untuk mengingati bahawa keadaan abnormal tidak selalunya menjadi kanser, dan sesetengah keadaan lebih berkemungkinan menyebabkan kanser berbanding yang lain. Seorang wanita seeloknya merujuk kepada doktornya untuk maklumat khusus tentang ujian Pap Smear dan apa yang dimaksudkan dengan Seperti mana-mana ujian yang lain, Ujian Pap Smear ialah ujian pemeriksaan dan ianya tidak tepat 100 peratus. Walaupun keputusan palsu positif dan palsu negatif tidak selalu berlaku, ia boleh menimbulkan kebimbangan dan boleh menjejaskan kesihatan seseorang wanita. Ujian Pap Smear positif palsu bermakna pesakit dimaklumkan dia mempunyai sel-sel yang abnormal, tetapi sel-sel itu sebenarnya normal. Ujian negatif palsu berlaku bila spesimen dipanggil normal, tetapi wanita itu mempunyai keabnormalan signifikan yang tidak dikesan. Ujian negatif palsu boleh melambatkan diagnosis dan rawatan keadaan prakanser. Bagaimanapun, pemeriksaan secara tetap boleh membantu mengatasi keputusan negatif palsu itu. Jika sel-sel abnormal tidak dikesan kali ini, terdapat peluang baik untuk sel-sel itu dikesan dalam ujian yang seterusnya. |
|
|